SUNGAI BULOH: Sebuah kilang di Kampung Melayu Subang di sini dilaporkan terbakar pada pukul 7.24 petang Selasa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.08 petang berhubung insiden berkenaan.

Susulan itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dikerahkan ke lokasi kejadian bagi operasi pemadaman.

Jelas kenyataan itu lagi, kebakaran melibatkan sampah kitar semula yang terletak berhampiran kilang terbabit.

Begitu pun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kebakaran berkenaan.

Terdahulu, satu video tular di laman sosial memaparkan anggota bomba sedang mengawal kebakaran.